Walaupun Sudah Berkahwin, Ini Kewajipan Yang Anak Perempuan Perlu Lakukan Kepada Orang Tua

Share

Selain mempunyai kewajipan terhadap suami, meskipun wanita sudah berkahwin, dia masih mempunyai tanggungjawab untuk terus menabur bakti kepada kedua orang tuanya.

Seperti yang disebut dalam Al-Quran:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (QS. Al Israa’ 23)

Semoga kebaikan yang anda berikan kepada orang tua akan beroleh ganjaran yang sangat besar buat anda sekeluarga, selain mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat kelak.

1. Berbakti dan menghormati orang tua

Walaupun sudah bergelar isteri, anda masih lagi mempunyai tanggungjawab untuk terus menghormati, merendahkan diri, memberikan kasih sayang, menghargai dan mencurahkan bakti kepada orang tua. Tundukkan pandangan anda ketika diberi nasihat atau tidak membantah dan tidak merasakan diri anda lebih tahu daripada mereka. Mengalah walaupun belum tentu memiliki kesalahan juga merupakan salah satu daripada bentuk merendahkan diri di hadapan orang tua.

Rendahkanlah dirimu terhadap kedua orang tuamu dengan kasih sayang dan katakanlah:
“Ya Tuhanku, kasihanilah kedua orang tuaku sebagaimana mereka telah mengasihiku sewaktu aku kecil.” (QS. Al Israa : 24)

2. Hulurkan bantuan kewangan kepada orang tua

Menjadi kewajipan anda sebagai anaknya untuk menyenangkan kehidupan orang tua. Apatah lagi dengan usia orang tua yang sudah lanjut, sudah tentu mereka memerlukan bantuan kewangan daripada anda untuk meneruskan kehidupan yang lebih selesa.

3. Menjaga nama baik dan amanat orang tua

Jalani kehidupan dengan baik mengikut ajaran agama agar nama baik dan maruah orang tua tetap terpelihara, selain tidak menconteng arang ke muka mereka. Apabila anda memuliakan orang tua, pahala yang bakal anda peroleh sangatlah besar

4. Jalinkan silaturahim dengan orang tua

Walaupun sudah berkahwin bukanlah bermaksud hubungan anda dengan orang tua harus terhenti. Jalinkan hubungan yang baik dengan orang tua dan jangan jadi anak derhaka. Apatah lagi Allah tidak menyukai orang yang suka memutuskan silaturahim lebih-lebih lagi terhadap ibu bapanya.

5. Berkomunikasi yang baik dengan orang tua

Jagalah adab-adab ketika anda berkomunikasi dengan kedua-dua orang tua. Jangan mengherdik atau meninggikan suara dengan mereka. Sentiasalah menjaga turut kata agar tidak melukakan hati mereka selain mengeluarkan kata-kata yang boleh menyejukkan perasaan mereka.

Hal ini juga disebut dalam Al-Quran:
“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu daripada diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah mengembangbiakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (QS An-Nisa: 1)

6. Jangan bebankan orang tua

Setelah berkahwin, jangan sesekali menyusahkan orang tua. Berikan yang terbaik untuk mereka menjalankan kehidupan dan ringankan beban mereka yang sudah lanjut usia. Kebaikan dan keikhlasan yang anda lakukan terhadap orang tua akan mengalirkan pahala buat anda sekeluarga.

7. Melayani orang tua dengan mesra

Walaupun sudah berkahwin, teruskan memberi layanan yang mesra dan terbaik kepada orang tua. Percayalah apabila anda menyenangkan orang tua, Allah akan menggandakan ganjaran bahagia buat anda sekeluarga. Malah kebahagiaan yang anda berikan kepada orang tua akan sama mengalir dalam diri anda juga.

8. Bersabar dengan segala kekurangan orang tua

Orang tua juga tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Oleh itu sebagai anak perempuan, usahakanlah untuk anda bersabar dalam menangani kerenah mereka. Ini kerana sabar akan membersihkan hati anda ke arah yang lebih baik.

9. Sentiasa mendoakan orang tua

Mendoakan kebaikan orang tua juga merupakan salah satu kewajiban anak setelah berkahwin.

Sabda Rasulullah SAW yang tercantum dalam hadis iaitu:
“Bila seorang manusia sudah meninggalkan doa kepada kedua orang tuanya maka rezekinya akan terputus.” (HR Ad Dailami)

Published by
Roselinda Mohd Yusof