Suka pilih konsep minimalis apabila hasilnya lebih kemas dan luas, jadi golongan isteri yang tak cukup masa nak mengemas rumah, boleh cuba idea ini.
Seperti idea yang dikongsikan Puan Susun Atur Sioca ini, ruang rumahnya nampak bersih dan luas.
Rujuk gambar kediamannya memang kosong sebab prinsipnya, tiada fungsi tak beli. Jika terbeli, let go. Malah dek kerana prinsip ini juga dapur pun nampak kosong. Tapi pegangan ini memang mudahkan kehidupan malah menjimatkan. Boleh lihat perkongsian beliau ini.
Rumah saya ada empat bilik dan satu air well. Saya bahagikan ikut bilik utama, bilik anak, bilik baju, bilik buku dan ruang dobi.
Bilik tidur hanya ada katil sahaja. Tak ada barang lain. Almari baju pun tak ada. Baju semua di’one-stop-centre’kan di bilik baju. Side table juga tak ada.
Bilik anak-anak juga begitu. Hanya ada katil. Meja belajar, buku-buku semua di’one-stop-centre’kan di bilik buku. Kalau nak belajar, kami akan berkumpul setempat dan bawa semua keperluan belajar, dah sudah, letak balik di bilik buku.
Bilik baju saya gunakan konsep baju tergantung. Dah bertahun guna konsep ni. Konsep ini sangat membantu menjimatkan masa para ibu dan isteri.
Langkah dia semudah masuk baju dalam mesin, sidai guna hanger, angkut hanger ke tempat masing-masing di bilik baju, selesai!
Pakaian kecil-kecil masuk je dalam kotak tapi pastikan satu jenis satu ‘rumah’. Kain pelikat, kain batik, tuala kena lipat tapi easy peasy sahaja.
Bilik buku pula ada rak buku dan meja belajar. Itu sahaja. Nak bagi kemas, tersusun, efektif, sentiasa gunakan konsep SETIAP BARANG ADA ‘RUMAH’ SENDIRI. Jangan sekali-kali campur aduk bila kemas.
Ruang dobi saya letakkan di airwell rumah. Dia sebenarnya langit terbuka tapi kami tutup dengan zink lutsinar supaya hujan tak masuk tapi cahaya matahari boleh masuk. Di sini ada mesin basuh, ampaian, dan sedikit ruang untuk barang-barang stor contohnya cat, tangga dan lain-lain.
Dapur, ruang tamu, ruang makan pun sama. Ada perabot asas sahaja dan memang digunakan seharian. Kalau yang tak ada function, saya tak akan beli. Kalau dah terbeli, saya akan let-go. Semua perabot tak bertukar selagi tak rosak. Sebab tu kalau mai dulu dengan sekarang, itu jugalah rupanya.
Dinding semua kosong. Tak ada sebarang deko kecuali jam dan cermin. Saya tak rajin nak lap habuk kat bingkai-bingkai tu semua. Dulu pernah cuba nak hias-hias tapi tak kena dengan jiwa. Cabut balik, let-go semua.
Kat dapur je ada bingkai sebab nak tutup cela pada dinding (retak sikit sebab alih pintu toilet yang asal).
Rumah saya juga tak ada sebarang karpet kecuali satu pvc mat, meraikan tetamu yang lebih selesa duduk bawah.
Perjalanan minimalis saya ni entah bila mulanya. Tau-tau dah kosong je rumah. Adik saya cakap macam orang baru pindah.
Jadi kalau anda rasa rumah dah penuh dengan barang, cuba pilih konsep minimalis. Barulah nampak ruang lebih luas dan kemas.
Sumber: Susun Atur Sioca