Tanpa semangat dan jiwa yang kental serta berdedikasi, Weddings By Emma tidak mampu untuk terus bertahan dalam industri. Berbekalkan usaha yang berterusan dan  strategi pemasaran yang bijak, Abdul Mustaqim Mokhtar dan Emma Zuraida Jaafar terus mengorak langkah untuk maju dalam perniagaan melalui syarikat yang mereka terajui.

Biarpun semakin popular dalam bidang dekorasi pelamin dan majlis perkahwinan, mereka tidak mudah berasa selesa dengan kedudukan itu, sebaliknya terus menitikberatkan kualiti dan berusaha memuaskan hati pelanggan.

Weddings by Emma mula diilhamkan pada Disember 2012 dan sudah pun memasuki tahun keenam di dalam industri. Bermula dengan minat untuk menolong kawan-kawan dengan berbekalkan modal yang kecil, lama-kelamaan Weddings by Emma mula menerima banyak permintaan. Alhamdulillah tahun pertama mereka disuntik untuk melakukan kerja kahwin selebriti, Shukri Yahya dan dari situlah orang mula mengenali Weddings By Emma.

Bagaimanakah mendapat keberanian untuk berkecimpung dalam bidang ini?

Saya yakin dengan industri ini memandangkan perkahwinan sampai bila-bila pun ada permintaannya. Yang mendorong saya untuk memilih bidang ini ialah minat mendalam terhadap dekorasi, selain pulangan yang memuaskan dalam perniagaan yang diceburi.

 Keistimewaan Weddings By Emma.

Setakat ini kekuatan Weddings By Emma ialah dari segi branding kami sendiri. Kami ada raving fans untuk memantapkan pemasaran online di media sosial. Lebih kepada perkongsian, di sosial media kami bukan hanya promosi tentang servis malah kami membina hubungan rapat (bonding) dengan klien di mana kami ada raving fans dan followers yang meyakinkan.

Dari segi hasil kerja yang membezakan kami dengan orang lain ialah kami lebih mementingkan personalised. Kami tidak mementingkan trend semata-mata tetapi lebih bersifat personalised dengan klien kami. Tidak terikut ikut trend. Contohnya jika klien mahukan konsep tradisional, yang disukai klien itu yang kami akan ikut. Tidak semestinya kita perlu ikut trend semasa, jadi kami berikan servis lebih personalised dengan kreativiti yang kami ada. Buat masa sekarang, orang lebih mengenali kami sebagai greenery expert yang menjadi signature kami.

 Weddings By Emma Pentingkan Kepuasan Pelanggan

Resipi kejayaan untuk memajukan perniagaan.

Kejujuran dan keikhlasan menjadi prinsip utama kami dalam urusan perniagaan. Terkesan dengan perancang perkahwinan yang menipu klien, dalam industri kita perlu be bold, be different dan sangat jujur dengan sesiapa sahaja. Bukan hanya klien malahan vendor dan juga orang sekeliling. Itulah prinsip yang saya pegang untuk berjaya.

Ads

 Komen anda terhadap industri perkahwinan di Malaysia.

Kalau hendak dibandingkan Malaysia dan Indonesia, jurang perbezaannya sangat besar. Indonesia sangat menghargai hasil seni sebaliknya di Malaysia pasarannya masih dikawal. Sebaiknya kita yang mengawal market. Bukan lagi semata-mata bergantung pada pakej A, pakej B dan sebagainya. Kita kena hasilkan pakej yang unik. Tidak salah mencuba sesuatu tema yang baharu. Itulah antara kekuatan Weddings by Emma, di mana kami akan syorkan sesuatu yang baharu dan bukan yang sedia ada.

 Antara servis yang ditawarkan oleh Weddings By Emma

Setakat ini kami memberi tumpuan terhadap dekorasi di mana pecahannya ialah pelamin, meja makan utama, laluan utama, pintu masuk termasuk bunga tangan.

 Bagaimana anda mendapatkan ilham rekaan?

Rujukan dari Pinterest, melihat pereka bunga di luar negara seperti lantas memberi inspirasi buat saya. Selain itu dengan minat membaca, idea dengan sendirinya akan bertambah. Sejak dari zaman sekolah lagi saya suka dekorasi yang indah.

 Tip penggunaan bunga segar dalam dekorasi.

Ads

Tidak semestinya kita perlu menggunakan semuanya dari bunga segar. Kalau agak jauh dari pelamin, gabungkan dengan bunga artifisial. Bunga artifisial yang kami gunakan dari gred A. Kami amat mementingkan kualiti bunga kerana itu antara kekuatan kami agar tidak kelihatan terlalu fake. Walaupun menggunakan bunga artifisial, gubahan itu perlu nampak lebih profesional dan bukan sekadar letak bunga begitu sahaja. Gubahan ini dilakukan oleh team dan diketuai oleh saya sendiri.

 Weddings By Emma Pentingkan Kepuasan Pelanggan

 Cabaran yang anda hadapi dalam bidang ini.

Saya anggap cabaran ini sebagai satu dorongan untuk lebih maju ke hadapan. Sebenarnya cabaran saya ialah pesaing yang tumbuh bagaikan cendawan. Bagaimana saya ingin mengekalkan keunikan dalam industri? Cabaran yang lain dari segi masa kerana menjadi event dan wedding decor ini, masanya terbalik. Kami bekerja di malam hari.

Cabaran berdepan dengan klien yang pelbagai kerenah. Dalam industri kita tahu akan ada masalah yang sebegini, jadi kerja perlu ada sistem. Saya aplikasikan sistem yang betul dalam perniagaan. Contohnya ada SOP, dengan klien pun ada SOP, melibatkan beberapa perjanjian yang pihak klien perlu tandatangani. Memang dari awal kami sudah didik klien dan tidak boleh last minute changing di mana kami ada perjanjian hitam putih dan lebih mengukuhkan.

Idea diciplak, bagaimanakah anda menanganinya?

Ads

Pada mulanya memang rasa frust tetapi selepas beberapa tempoh kita fikir yang kreativiti ini bersifat tiada had. Kalau orang inspired dengan idea kita, kita buat benda yang baharu. Saya memandang perkara ini dari sudut positif.

Bagaimanakah tanggungjawab anda sebagai wedding decor?

Saya nak bantu bakal-bakal pengantin untuk mendapatkan dekorasi yang sesuai dengan bajet dan tema yang mereka inginkan. Kami menjadi penasihat buat bakal pengantin. Bukanlah keadaan di mana klien perlu mengikut kata wedding decor semata-mata. Apabila klien gembira, ia memberi kepuasan buat saya. Kami bina hubungan baik dengan klien, bila mereka selesa secara tidak langsung hasil kerja saya diperkenalkan kepada orang lain.

Apakah kekuatan Intensive Weddings Thoughts and Actions (IWTA)?

Jika dahulu kita bersendiri, jika terserempak dengan pesaing pun rasa tercabar. Namun sekarang, saya pegang apa yang mentor (Nas Great Idea) saya kata, pesaing adalah kawan. Dalam IWTA, kita mengubah mentaliti dengan membina rangkaian yang positif sesama penggiat perkahwinan. Selain itu, kekuatan mentoring. Dalam IWTA juga ada senarai vendor, kalau perlukan item tertentu kita akan berkongsi. Kami tiada masalah dengki. Pada 1 Januari 2017, IWTA dicetuskan oleh Nas Great Idea. Abang Nas buka mata untuk create pakej unik bukannya masih bergantung pada pakej A contohnya. Jika nak pakej RM50K, create sesuatu yang unik. Bila ada platform seperti IWTA, ia membuka mata mereka yang terlibat dalam industri perkahwinan.

Perkembangan terkini Weddings By Emma

Kami mempunyai program perantis di mana Weddings By Emma bakal melahirkan pelapis dan kami akan coaching selama enam bulan. Hanya 12 syarikat yang baharu dalam industri akan dipilih untuk menyertainya dengan komitmen yuran tertentu. Kita berhasrat mahu membantu mereka untuk membina kerjaya dalam industri ini. Kongsi ilmu perniagaan ini dengan cara yang betul dan bersistem. Kita akan coach mereka dari zero to hero. Fokus kita kepada start-up company.

Nasihat Weddings By Emma untuk vendor baharu dalam industri ini

Buat mereka yang berhasrat untuk membina kerjaya dalam industri perkahwinan perlulah ada ilmu dan juga mentor. Tidak boleh buat suka-suka walaupun anda sudah di tahap tertentu. Anda masih perlukan ilmu dan juga mentor serta kena tahu asas pemasaran. Ramai pemilik perniagaan yang ceburi bidang ini tidak tahu membuat pemasaran. Masalah itu yang saya ambil untuk adakan kelas buat mereka yang memerlukannya. Industri perkahwinan bukanlah industri yang suka-suka disertai dan cuba-cuba, ia bukannya untuk bereksperimen. Kena faham dengan sistem dan jumpalah dengan orang yang sepatutnya seperti yang IWTA sediakan.

FOTO : JAZLAN NANGAR & KOLEKSI PERIBADI WEDDINGS BY EMMA

Lubuk konten untuk inspirasi bakal – bakal pengantin. Pengantin kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI