Indonesia sememangnya terkenal sebagai salah satu destinasi percutian pilihan rakyat Malaysia atas pelbagai sebab. Selain jaraknya yang begitu dekat, negara jiran itu juga berkongsi budaya serumpun dengan Malaysia. Lebih penting lagi, negara yang sangat luas itu mempunyai banyak lokasi pelancongan yang menarik dan sesuai untuk berbulan madu.
Selain kota Jakarta, Bandung dan Bali yang sering menjadi tumpuan penduduk sekitar, Yogyakarta tidak terkecuali menjadi salah satu bandar yang sering dikunjungi pelancong antarabangsa untuk berbulan madu. Terletak di kawasan Jawa Tengah, daerah istimewa Yogyakarta sentiasa mengalu-alukan kedatangan pengunjung.
Setiap tahun di awal bulan Oktober, bandar penuh bersejarah ini menyambut ulangtahunnya, dan pada tahun 2018 ini genaplah usia Yogyakarta yang ke 262 tahun!
Seperti yang diketahui ramai, Yogyakarta yang sering disebut Jogja oleh penduduk tempatan mempunyai banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati. Dalam dunia budaya popular pula, nama kota ini meniti di bibir para pencinta filem Indonesia ‘Ada Apa Dengan Cinta 2’ kala ia dijadikan lokasi utama untuk penggambaran filem terkenal tersebut.
Semestinya yang paling dikenali dan menjadi sebutan warga dunia adalah Candi Borobudur yang terletak di kawasan Magelang, sekitar 40km dari pusat kota Yogyakarta.
Menurut kajian, Candi Borobudur sebenarnya merupakan sebuah kuil purba penganut agama Buddha yang dibina antara tahun 750 dan 850 Masihi oleh pemerintah Jawa Dinasti Sailendra dan Sanjaya. Kini Borobudur telah diiktiraf oleh pihak UNESCO sebagai Warisan Budaya Dunia sejak 1991.
Pengunjung yang melawat Candi Borobudur buat pertama kali pasti akan terpegun dengan keindahan senibina serta ukiran yang terdapat pada keseluruhan kompleks ini. Dari bawah hinggalah ke puncaknya, terdapat ratusan ukiran di dindingnya yang menceritakan ajnas kisah serta pengajaran yang termaktub dalam agama Buddha.
Selain kuil ini, ada banyak lagi tarikan di Yogyakarta. Antara yang harus dikunjungi adalah Kampung Budaya Tembi atau Tembi Tourism Village. Ia merupakan sebuah pusat pelancongan yang memberi peluang kepada para pelawat untuk mencuba pelbagai aktiviti kesenian, seperti belajar melukis dan mencetak batik Jawa dan juga bermain gamelan.
Bagi yang ingin membeli-belah dan menikmati makanan tempatan, jangan lupa singgah ke Jalan Malioboro yang sinonim dengan jualan aneka pakaian (khasnya batik) dan pelbagai tempat yang menjual makanan. Ia merupakan satu lagi destinasi popular kota Yogyakarta yang harus dikunjungi kalau ke sana.
Jangan lupa juga untuk melawat kawasan diraja Yogyakarta atau lebih dikenali sebagai Kraton dalam bahasa Jawa. Kerabat diraja Kraton merupakan di antara keluarga diraja yang masih tinggal di Indonesia masa kini. Di perkarangan kawasan Kraton, tamu diberi peluang melihat dan mengenal lebih banyak tentang adat serta sejarah keluarga diraja (termasuk Sultan) yang masih lagi memainkan peranan penting dalam pentadbiran kota Yogyakarta.
Selesai melihat keindahan budaya peninggalan serta warisan, cubalah berkunjung pula ke Istana Air Taman Sari yang dahulunya berfungsi sebagai tempat permandian warga Kraton. Kini ia menjadi sebuah pusat pelancongan dan masih dikekalkan dengan baik. Seni bina persekitarannya masih indah dan sering menjadi tempat pilihan untuk mengabadikan ajnas gambar lewat media sosial.
Dari sisa runtuhan dan ceruk-ceruk kecil kawasan taman sari, terdapat sebuah tapak yang semakin menular di media sosial warga Indonesia khasnya. Tapak yang dikenali sebagai Sumur Gumuling atau Sumberjo Gemuling itu merupakan beberapa anak tangga yang dibina di dalam sebuah masjid bawah tanah. Masjid tersebut sudah tidak digunakan lagi, namun sewaktu ia didirikan, ia sengaja dibina di bawah tanah supaya tidak diketahui kewujudannya oleh pihak penjajah Belanda. Kini ia menjadi buruan penggemar fotografi dan mereka yang suka melukis. Malah giliran untuk mengambil gambar di tengah-tengah tapak agak lama kerana ramai yang ingin berebut mengambil gambar di situ.
Kemudian, teruskan pula ke kawasan perkuburan Mataram di kawasan kampung wisata Kotagede, sebuah lokasi terkenal dengan hiruk-pikuk jalannya yang sinonim dengan kota-kota Indonesia seperti Solo dan Yogyakarta. Di situ juga terdapatnya rumah-rumah budaya tradisional yang dipelihara, di samping Masjid Agung Mataram yang tersohor sebagai masjid tertua di Yogyakarta. Ia juga mempunyai senibina pengaruh Hindu dan Buddha gara-gara sejarah lampau kota itu.
Sekiranya berada di Yogyakarta di hujung minggu pada awal bulan Oktober pastikan ke kawasan pusat bandar iaitu Tugu Yogyakarta di mana acara sambutan ulang tahun kota tersebut disambut dengan penuh gilang-gemilang. Acara itu bukan sahaja dihadiri oleh Datuk Bandar kota Yogyakarta tetapi juga Sultan Kraton Yogyakarta sendiri (yang juga berperanan sebagai Gabenor kota itu).
Pelbagai kereta berhias dan kumpulan tarian bergiliran membuat persembahan. Dan acara malam tersebut akan diakhiri dengan alunan muzik. Ramai warga Jogja yang turut sama menari dan menyanyi. Malah Datuk Bandar juga ikut serta dan tidak ketinggalan berhibur bersama.
Dari malam yang disambut besar-besaran dengan muzik sehinggalah percikan mercun serta bunga api, jangan ketinggalan untuk menelusuri kawasan alam sekitar Yogyakarta yang indah. Luangkan masa ke Kalisuci di daerah Gunung Kidul. Di situ anda berpeluang mencuba aktiviti ‘Cave Tubing’ di mana para pengunjung dapat menjelajah ke dalam kawasan gua dengan menaiki pelampung besar yang dikitar semula dari tayar lori-lori besar lama.
Aktiviti tersebut memang menyeronokkan dan selamat. Setelah memakai peralatan keselamatan, pengunjung hanya perlu duduk mengikut arahan yang telah ditetapkan oleh para petugas dan membiarkan arus sungai membawa anda sepanjang perjalanan. Ia sama sekali tidak merbahaya dan paras air tidak dalam. Namun yang pasti, kesemua yang menyertai aktiviti ini akan basah jadi pastikan anda membawa baju tambahan.
Di situ juga tamu dihidangkan makanan tengah hari tradisional dengan beberapa jenis masakan penduduk tempatan. Seperti kebanyakan makanan Indonesia, semuanya lazat-lazat belaka!
Selesai dibasahi air sungai deras, lawatilah satu lagi tempat yang kini menjadi destinasi pelancongan, khasnya untuk mengambil gambar. Kawasan yang dikenali sebagai Tebing Breksi itu dahulunya sebuah tapak perlombongan batu kapur, namun kini ia telah dipulihara dan dijadikan kawasan wisata yang popular.
Ramai yang mengambil kesempatan untuk bergambar di atas tebing dan di depan dinding-dinding yang diukir dengan watak-watak seni wayang kulit.
Dan bercakap tentang wayang kulit, pada waktu malam pula cuba makan malam di Restoran Prambanan dengan pemandangan kuil Prambanan yang begitu menakjubkan! Lebih istimewa lagi, selesai sahaja makan malam tamu diberi peluang menonton persembahan yang dikenali sebagai Teater Ballet Ramayana. Persembahan teater tersebut merupakan secebis kisah yang diambil dari kisah Ramayana seperti yang sering dipaparkan dalam persembahan wayang kulit.
Persembahannya penuh warna-warni dan disulami dengan tarian gemulai para pelakon serta penari. Biarpun bahasa yang digunakan adalah gabungan bahasa Jawa kuno serta Sanskrit namun penonton masih bisa terhibur dengan gelagat para pemegang watak dan juga persembahan secara umum.
Seperti tarian dan para penduduknya, Yogyakarta memang berwarna-warni. Sejarah ratusan tahun yang disimpan di kota itu turut menyimpan untaian budaya penduduknya yang masih kaya dengan nila-nilai murni. Dari kelazatan makanan, kemesraan penduduk serta keindahan kota serta persekitarannya, Yogyakarta ada banyak tarikan selain Candi Borobudur dan Jalan Malioboro. Jadi andai ada masa terluang, sempatkanlah waktu untuk menyelami Yogyakarta!
Oleh:Shah Shamshiri
Terima kasih: Pejabat Pelancongan Yogyakakarta