Untung pelakon, Che Ta atau nama penuhnya Rozita Che Wan dikurniakan suami yang tidak cerewet dalam urusan rumah tangga.
Rozita, 52, berkata, Zain tidak pernah mengarah dia melakukan kerja rumah atau pun menghalangnya pulang lewat ke rumah sekiranya mempunyai tugasan di luar.
Cerita Che Ta, Zain cukup bertegas mengenai perkara melibatkan agama iaitu solat dan menjaga aurat.
“Alhamdulillah syukur untuk 10 tahun yang membahagiakan walaupun saya kadang-kadang jadi singa.
“Untung kami dapat suami macam Zain. Paling tidak cerewet, tak pernah suruh kami kemas rumah, basuh baju dan pinggan… Saya keluar lepak balik pukul 4 pagi pun dia tak tanya.
“Yang dia akan tanya, sayang sudah solat? Yang dia akan tegur hanya kalau aurat saya ternampak,” katanya.
Rozita berkongsi mengenai perkara itu menerusi hantaran di TikTok miliknya bersempena dengan ulang tahun perkahwinan bersama Zain yang kesepuluh.
Dalam pada itu, Che Ta turut berpesan kepada golongan wanita mencari teman hidup yang bukan sahaja memiliki kemewahan.
Sebaliknya kata pelakon Mat Kola ini, lelaki yang pandai menjalankan tanggungjawab sebagai suami sudah memadai untuk mendapatkan rumah tangga bahagia.
“Tak perlu lelaki kaya untuk rumah tangga yang bahagia janji tahu tanggungjawab masing-masing.
“Cari yang tahu agama dan praktikkannya bukan hanya tahu agama tapi jadi penunggang. Nauzubillah.
“Sebenarnya dalam apa juga keadaan dalam hidup ini, sederhana itu utama.
Sabtu lalu, Che Ta memaklumkan hasrat meraikan ulang tahun perkahwinan mereka terbantut selepas disahkan positif Covid-19.
Walaupun semua persiapan sudah dibuat, Che Ta memilih membatalkan acara tersebut kerana bimbang akan menyebarkan virus berkenaan kepada tetamu.
Untuk rekod, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 11 Disember 2013 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Aaisyah Dhia Rana yang kini berusia 10 tahun.
Che Ta juga mempunyai dua anak lelaki hasil perkahwinan terdahulu iaitu Ammar Affendy, 27, dan Aniq Ezzra, 25.